Friday 30 November 2012

Arowana ikan hiasan bernilai tinggi


Ikan arowana ini dapat ditemukan di kepulauan Melayu, seperti Borneo, Pulau Bangka, Sumatera dan Semenanjung Malaysia. Walaupun ikan ini juga terdapat di benua Australia, Amerika Selatan dan Afrika, ikan yang berasal dari kepulauan Melayu dan Asia ini merupakan jenis yang berkualiti dan menarik. Jenis arowana Asia, iaitu genus Scleropages, merupakan jenis yang sangat popular dan tinggi nilainya. 

Di Malaysia, habitat semula jadinya terdapat di kawasan Taman Negara, Sungai Krian, Sungai Muda, Sungai Endau, Sungai Rompin dan Sungai Terengganu. Arowana emas ialah jenis yang paling mahal dapat ditemukan di Tasik Bukit Merah yang terletak di Mukim Beriah dan Gunung Semanggol, daerah Kerian, Perak.
Ikan arowana atau dikenali juga sebagai ikan kelisa merupakan antara ikan hiasan yang mendapat sambutan yang tinggi daripada kalangan peminat di dalam dan luar negara. Di pantai timur, arowana dikenali sebagai ikan sarung golok kerana bentuknya yang menyerupai sarung golok atau sarung parang. Ikan arowana kini dianggap sebagai simbol kemewahan dan kejayaan kerjaya atau perniagaan seseorang kerana nilainya yang tinggi.
Arowana juga sering menjadi ikan hiasan pilihan bagi golongan yang berkemampuan untuk dipelihara dalam akuarium di rumah atau di ruang pejabat mereka. Ikan ini dikatakan dapat mencecah harga ribuan ringgit. Arowana yang termahal di dunia, iaitu arowana emas, berasal dari Malaysia. 
Harganya meningkat berdasarkan saiz dan berbeza mengikut lokasi asalnya. Dikatakan ikan yang berkualiti berharga antara RM500 hingga RM2500 pada saiz enam inci hingga sembilan inci. Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu mestilah berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Permit CITES.
Pada sekitar tahun 1970, ikan ini yang ditemukan berdekatan dengan Tasik Bukit Merah tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika dibandingkan dengan jenis ikan tawar yang lain, seperti lampam sungai, terbul, tembakang dan sebarau. Berdasarkan maklumat penduduk kepada penulis, ikan ini mudah ditemukan sehingga dapat dijumpai terperangkap dalam lopak air di dalam sawah padi atau tali air selepas musim banjir. Siapakah yang menyangka ikan yang kadangkala dijadikan pekasam rupa-rupanya mempunyai harga yang tidak ternilai sehingga mampu menjanakan pendapatan negara sehingga bernilai jutaan ringgit?
Berdasarkan analisis LKIM, pelaburan untuk projek ikan arowana ini menelan belanja yang agak besar. Pulangan atau hasilnya pula hanya akan diperoleh pada tahun keempat atau kelima, namun bergantung pada tahap baka induk yang baik, pemakanan dan pengurusan. Nilai pasaran ikan arowana juga dipengaruhi cita rasa peminat ikan tersebut. Walau bagaimanapun, ketika ini, permintaan serta harganya masih tinggi, terutama bagi pasaran antarabangsa.
Bagi masyarakat Cina, arowana sering dikaitkan dengan keuntungan dan dikatakan ikan yang membawa tuah kepada pemeliharanya. Masyarakat Cina mengatakan ikan ini menyerupai bentuk naga yang menjadi lambang yang membawa tuah. Sisik pada badannya cukup luar biasa besarnya. Mulutnya, apabila dibuka, sangat luas seakan-akan mulut ular sawa. Lidahnya pula keras, seperti tulang, sehingga dikenali sebagai Bonytongue. Giginya yang halus, amat kuat dan digunakan untuk mencengkam mangsanya, sehingga dikatakan ikan pemakan daging yang ganas.
Arowana termasuk di bawah perlindungan CITES. CITES merupakan singkatan daripada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora. Di bawah konvensyen ini, persefahaman telah ditandatangani oleh beberapa buah negara di Geneva, Switzerland, yang meletakkan arowana sebagai spesies arowana Asia (Scleropages formosus) yang paling dilindungi. Akta ini diwujudkan bagi melindungi spesies ini daripada terus pupus atau terancam.
Sebarang aktiviti penangkapan, pemilikan, pemasaran, penyeludupan, pembiakan, pengimportan dan pengeksportan secara haram di negara yang diharamkan perdagangannya dipantau oleh badan ini. Pada dekad 1990-an, harga anak ikan berukuran enam sentimeter (cm) dalam pasaran tempatan mula melambung tinggi dan mencecah RM1000 hingga RM1500 seekor. Jenis utama yang paling mahal terdiri daripada jenis merah dan emas. Terdapat tiga genus arowana di seluruh dunia, iaitu genus Scleropages, Osteoglossum dan Heterodontis. Ketiga-tiga genus ini digolongkan dalam famili Osteoglossidae.
Setiap anak arowana Asia yang berukuran 12 cm hingga 15 cm panjang perlu dipasang dengan penanda menggunakan mikrocip yang dikenal sebagai Passive Integrated Transponder (PIT), yang mempunyai siri nombor dan abjad bagi memenuhi tujuan komersial, sama ada untuk eksport ataupun import, di dalam negara. Penanda ini akan disuntik ke dalam tubuh anak ikan di bahagian bawah sisik menembusi ototnya. Pengeksportan ikan arowana pada peringkat antarabangsa memerlukan permit yang dikeluarkan oleh CITES dan Jabatan Perikanan. Arowana, yang pertama kali berjaya dibiakkan di Johor, kemudiannya berjaya menarik lebih ramai penternak dalam bidang pengeluaran benih ikan ini.
Jabatan Perikanan menyedari potensi pembiakan arowana yang dapat dijadikan industri yang menguntungkan. Sehingga tahun 2011, sebanyak 32 buah syarikat di Malaysia memperoleh permit CITES. Syarikat yang berjaya memperoleh permit CITES boleh mengeksport hasil mereka ke luar negara dengan syarat lain yang perlu dipenuhi, iaitu mendaftarkan ladang mereka kepada Unit Biosekuriti Negeri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Total Pageviews