Wednesday 3 April 2013

Anak arowana betina RM250,000


Oleh Mohd Sabran Md Sani
Dianggap sebagai simbol kemewahan dan kejayaan, ikan arowana emas atau kelisa menjadi ikan hiasan bernilai tinggi kalangan peminat spesies berkenaan, berikutan harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit seekor.
Selain dikaitkan dengan keuntungan dan membawa tuah kepada pemelihara 
nya, masyarakat Cina mempercayai arowana berkebolehan memberi petunjuk kepada pemilik sama ada bakal mendapat kegembiraan ataupun kecelakaan.

Bukan saja bentuk badannya menarik, malah ciri asli yang terdapat pada arowana termasuk warna dan kilauan sisik menjadikan ikan itu sebagai satu spesies ikan hiasan termahal di pasaran. 
Ikan arowana adalah ikan hiasan air tawar istimewa yang mendapat tempat bukan saja di kalang­an penggemar tempatan, malah luar negara. 
Spesies berkenaan mula diternak sejak 40 tahun lalu oleh pengusaha ikan hiasan di Bukit Merah, Perak. 

Aktiviti penangkapan ikan secara tidak terkawal sejak 70-an menyebabkan ia mengalami kepupusan di habitat asal. 

Bagi tujuan pengawalan, Convention on the International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) menjadi badan ditubuhkan untuk menjaga kepentingan spesies berkenaan sama ada bagi tujuan eksport atau import. 

Dalam memastikan kesinambungan arowana, Jabatan Perikanan melalui Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan menjalankan kajian mengenal pasti jantina ikan khususnya di peringkat juvenil. 

Kajian dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara lang­kah drastik dilakukan berikutan timbul permasalahan di kalangan penternak untuk mengetahui jantina ikan Arowana Emas bersaiz lapan sentimeter hingga ke 10 sentimeter. 

Kepentingan mengetahui jantina ikan ini disebabkan ada perbezaan nilai mengikut jantina kerana ikan betina lebih bernilai berbanding ikan jantan. 

Hal ini kerana ikan betina dapat menghasilkan anak yang bernilai hampir RM250,000 jika pembiakannya berjaya. 

Malah, secara semula jadinya ikan arowana adalah antara spesies ikan yang sukar untuk dikenal pasti jantinanya kerana memiliki bentuk badan hampir sama antara jantan dan betina terutama pada peringkat juvenil. 

Kaedah digunakan bagi mengetahui jantina ikan arowana yang biasa digunakan adalah dengan melihat bentuk badan, namun kaedah ini kurang tepat dan tidak boleh dipraktikkan pada pering­kat juvenil. 

Meng­gunakan kepakaran dimiliki, kedua-dua badan penyelidik berkenaan membangunkan teknologi biosensor hormon untuk menentukan jantina ikan arowana. 

Ketika kajian dilakukan, darah daripada ikan arowana diambil dan dianalisis kandungan hormon pembiakannya. 

Analisis itu bertujuan untuk melihat kadar kepekatan hormonnya dan jika kepekatan ‘ketotestosteron’ hormon tinggi berbanding ‘estradiol’, maka ikan berkenaan adalah jantan dan begitu sebaliknya. 

Teknologi biosensor pengesanan jantina ikan arowana dibangunkan dari hasil kajian hormon dalam plasma darah dilaksanakan dengan kerjasama UKM. 

Templat atau acuan biosensor dicipta untuk menge­san antibodi atau pun kandungan kimia dalam hormon pembiakan ikan arowana berkenaan. 

Biarpun kit biosensor berjaya dihasilkan, namun ia masih menjalani proses percubaan. 

Penciptaan teknologi kit biosensor pengesan jantina ini diharap akan dapat membantu pengusaha ikan Arowana Emas dalam menjalankan program pembiakan serta pemasaran ikan berkenaan. 
sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Total Pageviews